Monday, December 14, 2020

Perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani untuk RUU Perbekalan 2021 pada 2/12/2020

Video link: 

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10159191491569090&id=532284089

Perbahasan Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Wong Hon Wai di Dewan Rakyat peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani untuk RUU Perbekalan 2021 pada 2/12/2020 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya merujuk kepada Butiran 020100 – Industri Padi dan Beras. Saya merujuk kepada kerangka keberhasilan tentang pertanian dan industri makanan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Petunjuk jaminan bekalan makanan negara iaitu tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) untuk beras. Dalam buku ini tahun 2019 dinyatakan sebenar 74.30 peratus, tahun 2020 sasaran sebanyak 77 peratus dan tahun 2021 sasaran sebanyak 82.39 peratus. 

Saya pun hairan kerana saya membaca pengumuman Yang Berhormat Menteri ialah meningkatkan SSL ataupun tahap sara diri bagi beras dari 70 peratus sampai 75 peratus. Boleh Yang Berhormat Menteri menjelaskan perbezaan angka-angka SSL dalam buku anggaran ini dengan pengumuman Menteri? 

Di bawah perkara yang sama juga, saya mendapati bahawa di bawah Butiran 020100 – Industri Padi dan Beras, terdapat penurunan daripada peruntukan daripada 66 juta kepada 63 juta pada tahun 2021. Minta satu penjelasan kerana terdapat pengurangan walaupun kementerian ingin meningkatkan SSL untuk beras tetapi terdapat pengurangan daripada bajet. 
Yang Berhormat Menteri dari Beluran Sabah, apakah usaha Yang Berhormat Menteri tentang pembukaan lebih banyak tanah pertanian di negeri Sabah dan Sarawak? Memandangkan di pihak Semenanjung kita mungkin kekurangan ataupun tanah-tanah pertanian yang boleh dibuka di Semenanjung telah mencapai tahap yang tertentu. Apakah perancangan strategik Yang Berhormat Menteri untuk seluruh Malaysia untuk menambahkan lagi bekalan makanan khasnya di Borneo, di negeri Sabah dan Sarawak? 

Saya juga merujuk kepada Butiran 020000 – Bekalan Makanan Negara. Petunjuk peratusan tahap diri, self-sufficiency level (SSL) statistik daripada Department of Statistic Malaysia (DOSM) untuk cili kita hanya mencapai sebanyak 30.8 peratus, untuk halia sebanyak 16.2 peratus, untuk kubis bulat atau round cabbage sebanyak 36.2 peratus dan bawang atau onion tiada angka tetapi SSL yang rendah. 

Oleh itu, soalan saya SSL yang rendah dengan Import Dependency Ratio (IDR) yang tinggi memandangkan cili, halia, bawang dan sebagainya merupakan makanan, household food yang penting dalam Malaysia. Memandangkan juga apabila bill food import kita mencecah kepada RM60 bilion dan food trade balance deficit pada tahun 2018 mencecah kepada RM18.6 bilion. Itu telah meningkat daripada RM1.1 bilion pada tahun 1990, tahun 2006 sebanyak RM8.5 bilion food trade balance deficit dan sekarang RM18.6 bilion. 

Soalan saya, apakah usaha kita memperbaiki Global Food Security Index (GFSI), Malaysia di kedudukan 24 dalam Global Food Security Index dan ini bukan sahaja melibatkan isu makanan tetapi juga kepada isu consumption dan production harga makanan. Baru-baru ini India mengenakan larangan eksport ke atas beberapa kategori bawang ke luar negara, maka ia memberikan impak kepada Malaysia kerana kita import banyak bawang. 
Isu-isu logistik, currency exchange, climate change dan sebagainya. Apakah usaha menambahkan tahap sara diri (SSL) untuk beberapa agriculture produk dan kurangkan imports dependency ratio? 

Di bawah Butiran 020700 – Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Terdapat penurunan daripada angka anggaran RM143 juta kepada RM106 juta, apakah sebabnya penurunan tersebut? Penurunan yang drastik kerana saya dapati perikanan adalah satu industri yang penting. Apakah hasil kita telah meminda Akta Perikanan kita pada tahun 2019 yang diluluskan Parlimen ini? Apakah usaha perikanan laut dalam ataupun tuna industri di Lautan Hindi? Apakah hasil dalam perubahan pindaan akta itu? 

Perkara terakhir Tuan Pengerusi, Butiran 020000 – Bekalan Makanan Negara. Terdapat di bawah nisbah tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL), tentang daging kambing sebanyak 12.1 peratus, daging lembu (beef) sebanyak 23.7 peratus dan sekali lagi SSL yang rendah dan IDR yang tinggi, Department of Statistic. Apakah usaha kita untuk menambahkan bekalan makanan daging dalam negara?
Saya minta satu penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri. Sekian, terima kasih.

No comments: